luqman abdullah
Luqman Abdullah - Gambar: Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah menasihatkan penganjur agar tidak meneruskan konsert kumpulan Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, 22 November ini.

Menurut beliau, penganjuran program yang melalaikan itu tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Lebih-lebih lagi, katanya, kumpulan muzik berkenaan dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Kami juga menasihatkan masyarakat agar tidak memberi sokongan kepada program ini yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.

“Bagi masyarakat Islam, perlu difahami hiburan dalam Islam ada batasannya yang perlu dipatuhi dan mana-mana jenis hiburan yang terkeluar daripada batasan ini adalah bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, pandangan yang sama telah diberikan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Abdul Rahman menegaskan, konsert Coldplay wajar diharamkan berikutan sokongan kumpulan rock alternatif British itu kepada golongan LGBT.

Zamri pula menyifatkan penganjuran konsert tersebut tidak menghormati kesedihan dan perasaan simpati terhadap umat Islam di Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast