MELAKA – Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sedia menggerakkan 40 sukarelawan Pasukan Tindakan Kecemasan Bantuan Pertahanan Awam (CDA-ERT) bagi misi bantuan banjir di negeri terjejas ketika ini sehingga Mac tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, bantuan sukarelawan DMDI itu meliputi operasi menyelamat ketika bencana dan keperluan makanan kepada mangsa banjir.
“Sukarelawan ini yang mendapat latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bersedia untuk bantu mangsa-mangsa banjir di negeri yang terjejas sekiranya keadaan banjir di Melaka tidak buruk.
“Sekiranya keadaan memerlukan, mereka juga akan membawa bekalan makanan yang dikumpul melalui Food Bank Yayasan DMDI untuk disumbangkan kepada mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan 250 bantuan kit makanan kepada masyarakat B40 di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata ketika ini Food Bank Yayasan DMDI giat mengumpulkan barangan kit keperluan makanan asas daripada beberapa penyumbang.
“Kita juga bekerjasama dengan gudang food bank yang dibuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Auto City, Ayer Keroh.
“Ini khusus untuk penyumbang berskala besar seperti dari kilang-kilang boleh terus hantar ke sini yang dikendalikan KPDN sebelum dipek dan diedarkan di Yayasan DMDI,” katanya.
Tambahnnya, sehingga 31 Oktober lalu, Food Bank Yayasan DMDI sudah menyalurkan sumbangan kepada 4,434 penerima bantuan terdiri daripada golongan miskin dan B40 keseluruhannya bernilai RM238,694.30. – MalaysiaGazette