Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Pahang berlansung di Genting Higlands hari ini

BENTONG – Hampir setahun Barisan Nasional (BN) bergandingan bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan di Pahang dan ia kini diterjermah menerusi perjanjian persefahaman antara kedua-dua gabungan parti berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang merupakan negeri pertama memeterai perjanjian persefahaman kerjasama itu sekali gus menjadi boleh rujukan bagi pentadbiran di negeri.

Wan Rosdy Wan Ismail

Tambah Wan Rosdy, perjanjian bertulis antara kedua-dua pihak itu menunjukkan komitmen masing-masing bagi memantapkan persefahaman berbanding hanya perjanjian mulut sahaja sebelum ini.

“Antara kami berdua (Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari) tiada masalah tapi untuk pemimpin-pemimpin akan datang sebab kita mahu perjanjian ini seboleh-bolehnya berkekalan untuk selamanya.

“Jadi ada rujukan bertulis. Ia memudahkan untuk generasi akan datang. Terima kasih kepada Pengerusi PH Pahang kerana telah memberikan kerjasama walaupun sudah setahun berlalu tiada masalah yang timbul,” katanya.

Menteri Besar Pahang itu berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Pahang di Genting Highlands hari ini.

Tambah Wan Rosdy, keserasian bergandingan antara BN dan PH itu dapat dilihat beberapa sesi pilihan raya yang diadakan dan dianggap ’ujian’ buat mereka.

Jelasnya, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan lanjut sekiranya terdapat sebarang ketidaksetujuan dalam sesuatu perkara.

“Kami telah diuji dengan pilihan raya di Tioman, Pelangai dan di Johor kerjasama ini telah diuji dan Alhamdulillah kedua-dua parti deliver ketika berkempen,” tambahnya.

”Kerangka perjanjian ini meliputi pelbagai perkara termasuk perbincangan mengenai lantikan, jawatan, ruang kerjasama dan perancangan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, persefahaman antara BN dan PH akan menjadi model kepada kesefahaman lain pada masa akan datang  menunjukkan amalan politik yang sihat dan menentukan halal tuju negeri itu.

Amirudin Shari (kanan) ketika sidang media Majlis Menandatangai Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Pahang

Menteri Besar Selangor itu berkata, perjanjian tersebut dibuat berdasarkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan menambah baik  mengikut kesesuaian di Pahang bagi menjamin kestabilan di negeri itu.

“Perjanjian persefahaman ini dibincangkan antara kedua-dua pasukan peguam dan sedikit sebanyak template mengikut bagaimana Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan cuba seimbangkan dengan situasi di Pahang.

“Ia berkaitan apa ruang kerja bersama, apa tanggungjawab bersama. Jadi secara asasnya rujuk kepada kerjasama kerajaan Pusat yang hasilkan kerajaan stabil dan mahukan kestabilan itu wujud di Pahang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU)  lalu, 42 kerusi yang dipertaruhkan di peringkat DUN Pahang di mana BN memperoleh 17 kerusi, PN (17) dan PH lapan kerusi. – MalaysiaGazette