Nancy bersama peserta menunjukkan logo anti gangguan seksual sempena program Jerayawara KASIH KPWKM@ Advokasi Antigangguan Seksual di Persada hari ini.

JOHOR BAHRU – Masyarakat perlu mengubah persepsi masalah gangguan seksual hanya melibatkan wanita sahaja malah lelaki juga boleh menjadi mangsa.

Oleh itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri mahu lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual jangan malu tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa terutama kepada Tribunal Anti Gangguan Seksual yang baharu ditubuhkan.

Katanya, berdasarkan kajian, kebanyakan lelaki yang menjadi mangsa dilihat lebih cenderung memilih berdiam diri berbanding wanita kerana malu.

“Sebenarnya lebih ramai wanita yang tampil membuat laporan berbanding lelaki tapi kami dapat bukti bahawa ramai juga lelaki yang turut menjadi mangsa.

“Situasinya lebih kurang dengan wanita, di tempat kerja. Itulah kami tak tahu sebab kami bukan lelaki tetapi kesnya ada tetapi bila kita dapat laporan daripada polis itu tak ramai tetapi ikut laporan memang ramai.

“Oleh itu, kita nak menggalakkan supaya mereka (lelaki) untuk tampil dan jangan takut terutamanya kanak-kanak dan juga pelajar kerana kita sebagai ibu memang mahukan anak-anak kita menjadi orang yang berani bukan hanya berani bergaduh tetapi berani untuk bertindak dan supaya dapat berikan mereka ini keyakinan,” katanya.

Beliay berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini.

Sementara itu, Nancy berharap program-program berunsurkan motivasi lebih banyak penganjurannya dalam usaha memberikan keyakinan khususnya kepada golongan anak-anak agar berani bertindak.

“Seperti yang dimaklumkan saya mengharapkan tiada kesulitan kepada mangsa gangguan seksual termasuklah kaum lelaki untuk melaporkan kejadian ini sekiranya mereka menjadi mangsa. Lelaki mahu pun wanita ada beza, tampilah membuat laporan jika ada atau menajdi mangsa,” katanya lagi.

Untuk rekod, program berkenaan merupakan siri terakhir bagi Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual bagi 2023.

Program itu jelas beliau akan diteruskan pada masa depan dalam usaha mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung jenayah gangguan seksual.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast