Seorang penduduk membawa anaknya yang maut dalam serangan Israel

TEL AVIV – Rundingan antara Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Hamas hampir dicapai bagi membebaskan berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama beberapa hari.

Menurut Washington Post, rundiangan itu dilakukan dengan Qatar sebagai orang tengah bagi mencapai persetujuan.

Akhbar itu memetik ‘perjanjian enam muka surat terperinci’ yang mengatakan Israel dan Hamas akan membekukan semua permusuhan selama sekurang-kurangnya lima hari.

Hamas akan membebaskan 50 daripada kira-kira 240 tebusan yang diambil dari serangan mengejut pada 7 Oktober lalu dan akan “dikeluarkan secara berkelompok setiap 24 jam.”

Perjanjian yang dilaporkan juga termasuk peningkatan ketara dalam jumlah bantuan kemanusiaan termasuk bahan api ke Semenanjung Gaza.

Garis besar perjanjian itu dilaporkan akan dikeluarkan awal minggu ini.

Sementara itu, The Times of Israel melaporkan, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS berkata: “Kami belum mencapai perjanjian lagi tetapi kami terus bekerja keras untuk mencapai perjanjian.”

Sebelum itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan “banyak laporan tidak betul” mengenai perjanjian berkenaan.

Dalam taklimatnya pada Sabtu, Netanyahu ditanya sama ada Israel telah meluluskan perjanjian yang pertama kali dilaporkan pada hari Rabu untuk pembebasan kira-kira 50 tebusan.

Dia menjawab  “tiada perjanjian di atas meja” dan dia tidak dapat menjelaskan lebih lanjut.- Agensi