Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada sidang media di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. Foto SYADILA AMARI, 20 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tujuh warga Jepun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dalam telefon baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima satu laporan daripada pihak Kedutaan Jepun berkenaan aduan seorang warga Jepun yang ditipu untuk bekerja sebagai scammer di Malaysia.

“Bertindak dari maklumat tersebut, pada tarikh yang sama, JSJK telah membuat serbuan di sebuah unit kediaman di ibu negara dan berjaya menangkap tujuh lelaki warga Jepun berusia dalam lingkungan 23 hingga 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kediaman itu (disyaki disewa), polis membuat rampasan sebanyak 11 telefon bimbit, 1 modem, satu plastik hitam mengandungi beberapa barangan elektronik yang tidak sempurna, satu batang tukul besi dan serangkai anak kunci milik suspek,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara KPJ pagi tadi.

Kesemua suspek kini direman selama empat hari dan permohonan reman kedua dibenarkan selama tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Akta Imigresen 1959.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 120B, Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan 511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

“Hasil siasatan awal polis mendapati sindiket berkenaan menjalankan kegiatan phone scam yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Jepun.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi Skype untuk menghubungi dan menjerat mangsa yang mana sama seperti mana sindiket phone scam yang lain iaitu dengan menyamar sebagai pegawai bank dan memaklumkan kepada mangsa bahawa akaun bank mereka mengalami masalah.

“Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mangsa akan diminta membuat sejumlah bayaran ke akaun bank yang diberikan oleh suspek sindiket tersebut,” ujarnya.

Ramli berkata, walaupun kes-kes phone scam melibatkan warga Jepun jarang didengari, namun ia berlaku sekali gus menunjukkan sindiket ini sentiasa
mempelbagaikan kaedah penipuan yang digunakan. – MalaysiaGazette