Lima warganegara Malaysia yang ditahan di depoh Imigresen Phnnom Penh selepas terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 27 JANUARI 2023.

BEIJING – Ribuan penipu dan mangsa telah diekstradisi dari Myanmar ke China manakala beberapa ketua sindiket telah ditumpaskan dalam operasi besar-besaran antara China dan Myanmar untuk memusnahkan markas-markas penipuan di kawasan sempadan.

Ketua sindiket yang paling mencuri tumpuan iaitu Ming Xuecang dilapor telah membunuh diri untuk mengelakkan tangkapan.

Keazaman China untuk membasmi sindiket penipuan ditonjolkan apabila empat keluarga berpengaruh di Kokang di kawasan sempadan Myanmar dan China telah disasarkan pihak berkuasa.

China Press melaporkan, empat keluarga paling berpengaruh di Kokang iaitu keluarga Bai, keluarga Wei dan dua keluarga berasingan yang bernama Liu menguasai perusahaan perlombongan, kasino dan hartanah di Kokang.

Mereka juga menjadi dalang utama yang memayungi sindiket-sindiket penipuan di Kokang.

Susulan daripada tindakan tegas yang diambil, klip video telah muncul menunjukkan “pertaubatan” anggota utama daripada “keluarga berpengaruh” Kokang.

Anggota utama itu, termasuk ahli keluarga Wei yang ditangkap polis China, meminta ketua sindiket untuk membebaskan orang yang dikurung sindiket di Myanmar.

Mereka yang ditahan itu juga menyampaikan mesej bahawa “pihak berkuasa China tidak akan berlembut kali ini.”

Untuk keluarga Bai pula, anak-anak dan seorang menantu ketua sindiket dilaporkan terbunuh semasa cuba melarikan diri menggunakan helikopter dalam buruan yang dilancarkan pihak berkuasa.  Helikopter yang dinaiki mereka dilaporkan meletup dan tiada yang selamat.

Selain empat keluarga itu, terdapat juga keluarga Ming yang merupakan kuasa utama dalam “bidang penipuan”, termasuk mengendalikan pelbagai “wisma penipuan” di Myanmar.

Keluarga Ming didapati mengurung, menyeksa dan membunuh mangsa secara sewenang-wenangnya. Tiga tunggak keluarga Ming dilaporkan telah ditahan manakala seorang lagi iaitu Ming Xuecang telah membunuh diri semasa diburu pihak berkuasa.

Terdapat dua “pekan penipuan” terpenting di Myanmar iaitu di utara dan timur negara itu. Taman Perindustrian KK yang menempatkan warga Malaysia terletak di timur, manakala Kokang di utara.

Lebih 1,0OO markas penipuan dilaporkan beroperasi dari kedua-dua kawasan iaitu di utara dan timur Myanmar.

Pada 31 Oktober, Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong telah melawat Myanmar dan bertemu dengan pemimpin rejim tentera negara itu.  Kedua-dua pihak menegaskan akan terus berusaha untuk membanteras penipuan.

Semasa melawat China baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, China memberikan komitmen untuk membantu membawa keluar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan di Myanmar. – MalaysiaGazette