Gambar hiasan

KUANTAN – Jualan produk Nestle di tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung dilaporkan telah menjunam sebanyak 20 peratus susulan boikot ke atas jenama makanan itu.

Seorang pemborong makanan di kawasan tersebut memberitahu Nanyang Siang Pau, jualan untuk Milo, mi segera dan serbuk kopi mengalami penurunan yang paling ketara di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana produk-produk makanan tersebut mempunyai banyak alternatifnya di pasaran.

Pemborong itu berkata, walaupun produk Nestle di Malaysia mempunyai sijil Halal dan 90 peratusnya dihasilkan di Malaysia, tetapi turut menerima kesan boikot.

Ditanya sama ada Nestle akan melakukan promosi untuk menambah baik jualan, pemborong yang tidak mahu namanya disiarkan itu berkata, setakat ini belum mendengar apa-apa tindakan daripada Nestle.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia, Ding Hong Sing berkata,  kempen boikot tidak menjejaskan SME.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel merupakan produk terkenal oleh syarikat besar yang tidak mempunyai kaitan dengan SME.

“Disebabkan SME jarang membekal kepada jenama besar, maka saya melihat boikot ini mempunyai kesan yang tidak besar, malahan langsung tiada kesan kepada SME,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya separuh populasi Muslim tidak mengunjungi McDonald’s, maka mereka akan mengunjungi perniagaan dan restoran lain.

Beliau percaya kempen boikot itu akan berlanjutan untuk satu tempoh dan tidak akan berpanjangan.

“Dalam tempoh ini, mungkin ada pengguna yang akan beralih kepada jenama lain, ini mungkin membantu perkembangan perniagaan tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette