Orang ramai beratur panjang untuk menaiki bas untuk ke tempat kerja ketika tinjauan Malaysia Gazette. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketika waktu kerja sektor perniagaan di seluruh dunia kembali seperti biasa dengan majikan serta pekerja mengadaptasi persekitaran kerja yang fleksibel, satu fenomena baharu dan membimbangkan semakin ketara di kebanyakan tempat kerja.

Isu yang melibatkan kesihatan mental pekerja atau “kelesuan pekerja” dilihat semakin meningkat, dan sebagai sebuah negara membangun, Malaysia juga tidak terkecuali daripada masalah itu.

“Kelesuan pekerja adalah realiti dan ini bukan satu diagnosis perubatan,” kata Nisha Langdon, pengarah program di  Happiness2Life (H2L), sebuah organisasi berkaitan kesihatan dan keprihatinan berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor.

Kelesuan pekerja ditakrifkan sebagai sejenis kemurungan atau depresi berkaitan kerja, iaitu keletihan melampau fizikal atau emosi, dan menurut Langdon,  mereka yang terkesan dilihat telah hilang identiti diri atau tidak lagi peduli sama ada mereka berjaya menyempurnakan sesuatu ataupun tidak.

“Banyak kes yang dilaporkan di tempat kerja secara diam-diam; situasi di mana pekerja tidak dapat memenuhi tuntutan majikan dan beban tugas yang bertambah; seterusnya mereka menjadi begitu tertekan.

“Pada akhirnya, ini akan menjejaskan kesihatan mental pekerja, mencetuskan kebimbangan dan depresi,” kata Langdon.

Kelesuan berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang dipendam sejak sekian lama, antaranya ialah tidak ada kejelasan di tempat kerja, layanan tidak adil, ketiadaan komunikasi atau arahan yang baik, pengurusan masa tidak cekap serta isu-isu tempat kerja yang menokok.

Selain itu, pekerja juga disasar menyiapkan beban tugas melampau dalam tempoh masa yang tidak munasabah.

Lebih separuh pekerja di Malaysia mengaku mereka keletihan akibat kerja, kata Langdon, memetik laporan Employment Hero, sebuah agensi yang menawarkan penyelesaian sumber manusia.

“Dapatan utama ialah 58 peratus pekerja mengaku mereka mengalami kelesuan akibat kerja sejak beberapa bulan lepas,” katanya yang berkongsikan Laporan Kesejahteraan Pekerja 2022.

Menurut beliau, laporan mendedahkan bahawa pekerja menyatakan mereka 32 peratus lebih setia kepada majikan dan tempat kerja apabila majikan komited terhadap kesejahteraan mereka. Akan tetapi, keadaan adalah jauh berbeza jika majikan tidak peduli akan aspek itu dengan sebahagian besar tenaga kerja menyatakan ketidaksetiaan.

H2L yang ditubuhkan 15 tahun lalu, menjalankan kursus “Mindfulness for Productivity” bagi syarikat kecil dan sederhana serta korporat, secara bersama dengan QIC Sdn Bhd – sebuah syarikat latihan sumber manusia – dan beberapa buah firma perunding sumber manusia tempatan yang mempunyai klien berdepan isu kelesuan pekerja.

Berkongsi pandangan, Pengarah QIC Dinesh Sekar berkata, ramai pengarah sumber manusia mula perasan akan tanda-tanda kemerosotan prestasi dalam kalangan pekerja yang mempunyai kecenderungan tidak hadir bekerja dan berbohong.

Kemerosotan kesihatan fizikal, emosi dan mental mereka boleh menyebabkan mereka diberi teguran oleh majikan, malah mungkin berdepan tindakan undang-undang.

“Bagi menangani masalah mereka, pekerja yang berkenaan mungkin cuba merawat sendiri dan terjerumus dalam salah guna alkohol, inhalan (bahan sedut), bahan perangsang, malah ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi seperti ubat tidur dan antikemurungan.

“Apabila persekitaran tempat kerja, ahli keluarga serta rumah terjejas secara intrinsik, ini akan mengakibatkan masalah tenaga kerja yang teruk dari segi sosial serta  ekonomi, dan seterusnya merugikan negara,” kata Dinesh.

Langdon menggariskan matlamat keseluruhan H2L ialah membantu majikan lebih memahami kesihatan tenaga kerja mereka, sekali gus memudahkan mereka mengenal pasti gejala kemerosotan kesihatan mental seperti depresi dan kebimbangan.

Katanya, para peserta, iaitu pekerja dan majikan yang menghadiri kursus mereka diberikan kit peralatan untuk digunakan dalam kehidupan seharian bagi membantu mereka mengekalkan kesihatan mental yang baik dan mendepani tekanan di tempat kerja, yang akan memastikan mereka tidak sampai ke peringkat kelesuan.

Langdon berkata H2L menawarkan kursus sehari yang disasarkan untuk semua petugas daripada semua bahagian dan mengajar mereka akan cara menguruskan kesihatan mental serta mencegah kelesuan.

Agensi itu juga menawarkan kursus dua hari dengan program yang merangkumi latihan keprihatinan dan peralatan untuk membantu pemikiran.

“Kita teliti dan analisis stigma kesihatan mental serta cara untuk kita mengatasi keadaan itu,” tambah beliau.

Satu lagi kursus dua hari H2L ialah program intensif untuk pekerja peringkat pengurusan yang menggariskan kaedah mengenal pasti isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja.

“Kursus ini mengajar mereka agar lebih memahami apa yang dilalui oleh pekerja mereka,” kata Langdon.

H2L turut membimbing petugas pengurusan bagaimana mewujudkan tempat kerja yang kondusif, berfungsi dan menyokong.

Beliau berkata syarikat besar di Asia baru mula memahami kepentingan mengekalkan kesihatan mental yang baik dalam persekitaran kerja, dan betapa pentingnya mempunyai alat yang mudah diakses oleh kakitangan dalam membantu mereka mengurus kesihatan mental sendiri.

“Isu kelesuan boleh dielakkan sekiranya dikenal pasti dan ditangani  di peringkat awal,” tambah Langdon. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast