Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi menunjukkan dadah jenis methamphetamine dengan nilai rampasan berjumlah RM6,320,028.00 yang berjaya dirampas oleh pihak polis ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 NOVEMBER 2023.

SHAH ALAM – Polis merampas lebih 191 kilogram dadah jenis methampetamine bernilai RM6.32 juta dalam serbuan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Bukit Puchong, 12 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, serbuan itu berdasarkan pandu arah dua individu yang ditangkap dalam serbuan itu.

“Pada 12 November 2023 jam 7.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya berjaya menangkap dua lelaki tempatan yang menaiki Perodua Alza di kawasan Bukit Puchong, Selangor.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku ada dadah di dalam bonet kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang diparkir 15 meter dari lokasi tangkapan.

“Hasil pemeriksaan ke atas Ford Ranger mendapati lapan guni mengandungi 190 plastik berwarna hijau berlabel teh Cina.

“Di dalamnya bungkusan itu terdapat plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah methampetamine seberat 191,516 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Tambah beliau, dua rakyat tempatan yang ditahan itu masing-masing berusia 36 dan 32 tahun.

“Suspek pertama bekerja sebagai mekanik kereta, manakala suspek kedua adalah buruh binaan.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methampetamine,” katanya.

Selain dadah, polis turut merampas sebuah MPV jenis Peeodua Alza bernilai RM40,000.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama 10 hari bermula 13 hingga 22 November ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 15 sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette