Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Chong Zhemin (DAP-Kampar) hari mempersoalkan Kerajaan Negeri Kelantan sama ada akan bertindak memboikot pengeluar kereta mewah Jerman, Mercedes-Benz yang jelas menyokong rejim Israel.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa, Zhemin berkata, kerajaan negeri itu menggunakan kereta mewah tersebut bagi kereta rasmi kerajaan negeri.

Susulan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Negeri Kelantan mengatakan pendirian mereka ekoran ‘memberi’ 1 juta euro kepada firma yang menyokong Israel baru-baru ini.

“Kalau nak boikot jangan double standard (jangan dua darjat), kalau nak boikot semua kena. Mercedes derma satu juta euro atau RM5 juta kepada Israel, saya nak tanya Kerajaan Negeri Kelantan masih nak pakai kereta mewah Mercedes ke tidak?

“Nak boikot atau tidak? Kalau nak boikot jangan double standard. Starbuck, McDonalds tidak makan dan Mercedes pun tidak perlu pakai, boleh? Duit sudah masuk Israel,’ katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Exco pada 2020.

Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Minggu lalu, media melaporkan  Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes Benz dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Mercedes-Benz Group, Ola Källenius mengumumkan bantuan sebanyak €1 juta (RM5 juta) kepada organisasi Israel.

Sumbangan itu dibuat melalui akaun Linkedin miliknya kira-kira tiga minggu lalu.

Menerusi hantaran itu, Källenius menyatakan kesedihan atas serangan yang berlaku ke atas Israel dan mahu membantu bagi mengurangkan beban mereka. – MalaysiaGazette