Para nelayan orang asli membawa naik hasil laut selepas mencari rezeki untuk di jaual kepada para pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Pagi Orang Asli, Bakar Batu, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 02 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Stok ikan melalui pendaratan di Pantai Barat Semenanjung tidak terjejas semasa perubahan cuaca Monsun Timut Laut (MTL).

Namun, MTL 2023 telah menyebabkan bekalan ikan terutamanya pendaratan spesies ikan kembung berkurangan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, trend pendaratan ikan kembung adalah paling rendah pada bulan November hingga Mac/April dan akan meningkat mulai Jun/Julai setiap tahun.

Kekurangan bekalan ikan pada masa ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu di rantau ini.

Berdasarkan data perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), pendaratan ikan kembung pada tahun 2021 adalah sebanyak 40,959.95 tan metrik dengan nilai RM 421 juta manakala tahun 2022 merekodkan 39,146.95 tan metrik dengan nilai RM458 juta dan bagi tahun 2023 (Januari hingga September) mencatatkan 33,102 tan metrik dengan nilai RM410 juta.

“Jumlah pendaratan ikan kembung bagi Pantai Barat Semenanjung sebanyak 22,765 tan metrik manakala di Pantai Timur sebanyak 9,637 tan metrik.

“Jabatan Perikanan Malaysia telah menjalankan kajian dan mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan musim tertutup bagi ikan kembung dan pelaling di Kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan kajian pentaksiran sumber yang dijalankan oleh DOF, stok ikan kembung akan mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April yang mana ini berkait dengan migrasi ikan kembung ke perairan negara,” tambahnya.

Menurut beliau, sumber ikan kembung akan mulai stabil pada bulan April, ikan ini didapati telah berada di kawasan perairan Malaysia, oleh itu peningkatan sumber ikan kembung boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada nelayan tempatan.

Merujuk kepada data pendaratan ikan tahun 2012 hingga 2022, jumlah pendaratan kumulatif ikan Kembung di Pantai Barat Semenanjung dalam tempoh
10 tahun adalah sebanyak 336 ribu tan metrik melebihi 2 kali ganda dari Pantai Timur Semenanjung iaitu sebanyak 140 ribu tan metrik.

Fenomena ini dilihat seiring dengan pergerakan arus di perairan ini meningkatkan jumlah fitoplankton sebagai makanan ikan dan mendorong ikan bergerak ke kawasan ini.

Ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi bersama di peringkat serantau seperti di negara Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina serta Brunei.

Pendaratan yang kurang pada masa ini, disebabkan sumber bergerak ke kawasan lain di dalam ekosistem Laut Andaman dan Laut China
Selatan.

Spesies ini banyak dieksport ke negara Australia, Brunei dan Hong Kong manakala negara India dan China antara yang paling tinggi dalam pengimportan komoditi ikan kembung.

Berdasarkan kajian yang dijalankan selama 10 tahun oleh pihak Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC) ke atas ikan kembung dan ikan selayang, sifat semula jadi ikan kembung yang suka bermigrasi secara berkumpulan adalah bagi tujuan pembiakan dan mendapatkan makanan, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast