Halim Saad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon untuk membatalkan saman dikemukakan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad terhadap beliau pada Ogos lalu.

Halim, bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong turut menyaman dua lagi pihak bersama Dr Mahathir, iaitu bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Saman itu berkaitan dengan dakwaan arahan kerajaan menyuruh Halim menjual saham dalam Renong Bhd kira-kira 23 tahun dulu yang mana ketika itu Dr Mahathir adalah Perdana Menteri keempat.

Ketiga-tiga pihak defenden ini telah memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Kata mereka, saman ini perlu dibatalkan kerana ianya remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Notis tersebut telah difailkan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili mereka di Mahkamah Tinggi di sini.

Halim mendakwa dirinya telah diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Ia dilakukan Dr Mahathir atas kapasiti sebagai perdana menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri.

Halim berkata, ketika itu Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal Renong.

Dalam tuntutan saman ini, Halim memohon pengistiyaran beliau sebagai pemegang saham Renong dan bukannya UMNO dengan mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan memadai kepadanya.

Difahamkan ketika itu kerajaan telah membayar sebanyak RM165 juta kepada Halim.

Media juga melaporkan Nor Mohamed mendakwa Halim dibayar RM165 juta kerana kehilangan kawalan ke atas Renong.

Sejumlah RM45 juta telah dibayar pada 22 Mei 2003 dan bakinya dibayar pada hari berikutnya.

Halim juga pernah memfailkan saman 10 tahun lepas kerana tidak berpuas hati dengan bayaran itu namun telah dibatalkan mahkamah ketika itu. -MalaysiaGazette