MHO bersama 100 mangsa hadir ke JSJK bagi menghantar memorandum berhubung penipuan pelaburan patuh syariah. baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berwajib memberi maklumbalas berkaitan penipuan pelaburan saham berlandaskan syariah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, pihaknya bersama mangsa sudah membuat laporan polis sejak Mac lalu namun belum nampak ada perkembangan berkaitan kes penipuan itu melibatkan kerugian ratusan juta itu.

Pihaknya juga tertanya-tanya adakah siasatan polis sudah selesai dan telah diserahkan kepada pendakwaan supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

“Apa yang kita risau ialah apabila penipuan pelaburan berlandaskan syariah yang berjaya mengaut keuntungan ratusan juta ini melibatkan dalam kalangan individu ternama dalam institusi perbankan.

“Kita mahu maklum balas daripada polis, sama ada kertas siasatan itu lengkap atau ia dapat disegerakan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), kasihan dengan mangsa-mangsa ini.

“MHO sendiri telah terima lebih 500 aduan dengan anggaran kerugian tidak kurang daripada RM140 juta berkaitan penipuan berkonsepkan Islam ini. Mungkin ada lagi mangsa tapi belum keluar,” katanya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim

Difahamkan MHO bersama-sama lebih 100 mangsa telah menghantar permohonan representasi perkembangan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini semalam.

Hishamuddin mendedahkan rata-rata mangsa tertipu dengan skim pelaburan saham yang menawarkan pakej langganan oleh beberapa buah syarikat terkemuka yang turut menjanjikan pulangan dividen sebanyak empat hingga enam peratus sebulan.

“Nampak sangat tidak munasabah, memang nampak langganan ini tidak sah dari sudut undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang. 

“Kebanyakan pelanggan sudah tidak terima bayaran dividen, modal juga tidak dapat. Apabila mangsa berusaha untuk berjumpa lembaga pengarah, semua hilangkan diri,” ujarnya yang akan menghantar memorandum kepada pejabat Peguam Negara sekiranya belum ada perkembangan mengenainya daripada polis. – MalaysiaGazette