KUALA LUMPUR – Muhammad Aqilluddin Mohd. Nafi mengungguli sukan luncur udara dalam Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu dan Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 (Tertutup) yang berlangsung kelmarin.
Dianjurkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor, para luncur yang mewakili CloudBass itu berjaya menewaskan dua pesaing untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Dia juga menduduki tempat ketiga bagi kategori terbuka yang dimenangi dua para luncur dari Indonesia pada kejohanan yang bertempat di Taman Tasik Melinium, Kuala Kubu Bahru.
Dua wakil negara tersebut iaitu Ilham Erwahyudha dan I Kadek Vero Surya Prakaca masing-masing menduduki tempat pertama serta kedua dalam kejohanan yang diadakan Sabtu lalu.
Kejayaan itu membolehkan kedua-dua peserta membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,500 dengan merangkul tempat pertama serta naib johan.
Pengarah Projek, Nazri Sulaiman berkata, sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuk berpasukan, tertutup Malaysia, wanita, junior dan veteran dengan hadiah keseluruhan untuk kelima-lima kategori ialah RM15,700.
Jelas beliau, kejohanan tahun ini membuktikan Malaysia berjaya menampilkan aksi terbaik apabila menduduki kedudukan tiga terbaik dalam kategori terbuka selepas edisi sebelum ini disapu bersih oleh Indonesia.
“Selain mencungkil bakat baharu, kita juga berjaya mengetengahkan potensi produk pelancongan seperti Paragliding Fun Fly, Tandem Paragliding, Aero Modeling, pertunjukan dron dan Paramotor Microlight menerusi penganjuran ini.
“Malah kita berjaya mengenal pasti potensi Kuala Kubu Bharu sebagai hab aktiviti sukan udara selepas menerima lebih 6,000 pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Nazri berkata, festival itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui dan menceburi sukan ekstrem dengan lebih dekat.
“Festival ini dianjurkan dengan matlamat mempromosikan produk dan program pelancongan yang dijalankan dalam Selangor dan Malaysia menerusi aktiviti paragliding sukan lasak.
“Selain itu, kita juga mahu menjadikan Kuala Kubu Bahru sebagai hub sukan udara yang mampu menerima para luncur dari dalam dan luar negara,” ujarnya.
Pesta Paragliding Kuala Kubu Bharu & Pertandingan Ketepatan Mendarat 2023 (Terbuka) menampilkan CloudBass sebagai Rakan Teknikal dan Pengurusan Koordinator yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Seniman Malaysia sebagai Rakan Strategik. – MalaysiaGazette