Keluarga mangsa yang mengadakan pertemuan dengan Netanyahu.-(Avshalom Sassoni/Flash90)

TEL AVIV – Keluarga tebusan melahirkan perasaan marah terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana masih gagal membebaskan lebih 200 orang yang ditahan oleh Hamas.

The Times of Israel melaporkan keluarga mangsa meninggalkan Netanyahu ketika mereka mengadakan pertemuan malam tadi.

Keluarga mangsa berang dengan mesej bercampur yang dikeluarkan oleh Netanyahu dalam pertemuan itu mengenai matlamat perang tentera zionis di Gaza.

Udi Goren, yang sepupunya adalah tebusan Gaza Tal Haimi, memberitahu Saluran 12; “Beberapa hari lalu, kami bertemu dengan (menteri Kabinet perang Benny) Gantz dan (Gadi) Eisenkot. Kami mendengar daripada mereka dengan cara yang jelas bahawa matlamat utama perang adalah mengembalikan tebusan.”

Bagaimanapun, menurut beliau, dalam pertemuan itu, Netanyahu memberitahu keluarga tebusan matlamat untuk memusnahkan Hamas adalah sama dengan tujuan mengembalikan tebusan.

Kenyataan Netanyahu menimbulkan kemarahan mereka yang hadir kerana merasakan keputusan itu menyebabkan orang tersayang mereka ‘dibenarkan tinggal di Gaza untuk lebih lama’.

Sementara itu, Netanyahu  menekankan komitmennya untuk memastikan pembebasan tahanan dengan menyebutnya “misi suci dan tertinggi.”

“Kami tidak akan berputus asa sehingga mereka dikembalikan, dan ini adalah tanggungjawab saya dan Kabinet perang,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya mendengar keperitan keluarga. Kami bercakap dari hati ke hati. Saya berkongsi dengan mereka seberapa banyak yang saya boleh tentang usaha diplomatik, risikan dan operasi yang kami pimpin sepanjang masa,” sambung perdana menteri sambil menambah beliau juga memikirkan tentang tebusan “sepanjang masa.”

Netanyahu berhadapan kemarahan rakyat dengan antaranya mendakwa serangan 7 Oktober disebabkan dasarnya terhadap Palestin serta kelemahan tentera pimpinannya menjadi faktor beratus menjadi tebusan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast