KUALA LUMPUR – Usul pindaan perlembagaan bagi mengukuhkan serta menambah baik urusan pentadbiran parti antara agenda utama akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 23 hingga 25 November ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, usul itu selaras dengan tema persidangan tahunan kali keenam berkaitan tekad memperjuangkan semangat parti demi kesejahteraan rakyat serta negara.
“Pindaan Perlembagaan ini adalah perkara-perkara berkaitan pentadbiran dan juga operasi Bersatu. Lebih kepada perkara-perkara yang melibatkan pentadbiran yang kita mendapat maklum balas daripada akar umbi.
“Ada penambahbaikan dari sudut pentadbiran perlu kita laksanakan. Perkara yang sudah lama kita bincang dan akan dibawa untuk diluluskan dalam perhimpunan agung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung PAT Bersatu 2023 di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.
Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa PAT Bersatu 2023 menambah, usul pindaan perlembagaan parti itu hanya berhubung perkara asas pentadbiran parti dan tiada kaitan dengan isu anti lompat parti.
Selain itu, terdapat juga usul lain akan dibentang sepanjang persidangan kali ini berhubung keadaan yang sedang dihadapi rakyat Palestin terutamanya di Gaza.
Dalam pada itu, Radzi turut memaklumkan seramai 2,054 perwakilan di seluruh negara akan menyertai PAT Bersatu 2023 yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada Jumaat dan Sabtu ini.
Manakala sejumlah 760 perwakilan bagi sayap Srikandi Bersatu dan 859 perwakilan sayap Armada akan menyertai konvensyen masing-masing yang diadakan pada Khamis ini. – MalaysiaGazette