Mustapha Sakmud
Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Sebanyak 44 aduan pekerja diterima di mana lebih separuh daripadanya didapati berasas membabitkan kegagalan majikan mematuhi dasar cuti bersalin yang dilanjutkan kepada 98 hari mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmu berkata, pihaknya sudah memberi peringatan dan mengarahkan tindakan pembetulan kepada majikan terbabit.

“Sehingga tempoh 31 Oktober lalu, sebanyak 44 kes aduan diterima dan daripada jumlah itu 28 adalah berasas manakala baki 16 lagi didapati tidak.

“Bagi aduan yang berasas, majikan terbabit diberikan peringatan dan tindakan pembetulan sudah diambil.

“Semua kes itu sudah diselesaikan melalui pematuhan majikan dengan pemberian kelayakan tempoh cuti bersalin selama 98 hari kepada pekerja,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang ingin mengetahui jumlah majikan yang gagal mematuhi perlanjutan cuti bersalin bermula tahun ini dan tindakan yang dilaksanakan bagi menanganinya.

Mustapha memberitahu, pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 di bawah Seksyen 37(1)(d)(ii) Akta Kerja 1955.

Jelasnya, melalui pindaan itu tempoh cuti bersalin selama 98 hari diberikan selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Maternity Protection Convention (Konvensyen Perlindungan Bersalin), 2000 yang menetapkan tempoh cuti tidak kurang dalam jangka masa berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast