KUALA LUMPUR – Umat Islam yang dahagakan hiburan masih boleh hadir ke konsert yang berunsur kerohanian dan bercirikan Islamik sebagai alternatif bagi mengisi jiwa mereka dengan nilai kebaikan yang mendekati dengan tuhan.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, sekiranya jelas konsert itu merosakkan iman dan akhlak, sudah pasti ia perlu dihindari sebaliknya memilih konsert yang lebih berfaedah.
Mengenai konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung malam ini, dia mengakui tidak mengenali dan mengikuti band asal dari United Kingdom itu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah sebelum ini berkata, konsert itu bukan sahaja melalaikan bahkan tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negara ini.
Menurut Azadan, Coldplay yang menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) itu jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.
“Saya tidak ikut dan kenal langsung tapi kita tahu isu semasa yang berlaku di Malaysia dan kita banyak konsert hiburan tempatan berunsur kerohanian berciri Islamik sebelum ini dan akan datang.
“Jadi rakyat Malaysia kena memenuhi jiwa kita dengan pengisian kerihanian dan motivasi yang menjurus kepada kebaikan.
“Kalau kita rasa hiburan yang ada menggoncang iman kita dan rosak akhlak kita pastinya kena hindarkan dan tak payahlah sibuk serta bersusah untuk sokong konsert yang tidak berfaedah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Seawal pagi ini, orang ramai sudah ‘berkampung’ di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil susulan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung malam nanti.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang turut menyarankan supaya konsert berkenaan dibatalkan bagi menghormati situasi semasa yang berlaku di Gaza, Palestin, selain bimbang insiden tidak senonoh dilakukan kumpulan pop rock dikenali sebagai The 1975 pada Julai lepas berulang.
Kumpulan muzik ternama dari UK itu dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.
Mengulas lanjut, Azadan berkata, sebagai umat Islam, kita sepatutnya membawa diri, keluarga dan sahabat ke program atau konsert kerohanian untuk berdepan dunia penuh pancaroba hari ini,
“Kita kena lepas tekanan dengan lagu-lagu kerohanian yang mengenal Allah. Jadi saya yakin rakyat Malaysia dan netizen lebih bijaksana dan boleh pilih mana baik mana buruk.
“Kalau sesuatu perkara itu banyak kebaikan teruskan, kalau banyak keburukan tinggalkan,” katanya.
Sementara itu, Azadan mengajak umat Islam agar hadir ke Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Disember depan.
Selain Rabbani, beliau berkata, konsert bertemakan Solidariti For Palestin akan dihiburkan oleh penyanyi popular seperti Mawi, Zizi Kirana, Adeep Nahar dari Singapura dan Kumpulan nasyid Aeydan dengan lagu ketuhanan dan kerohanian bagi pengisian jiwa penonton yang hadir.
Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 yang akan diiringi oleh pemuzik dari Orkes Melayu Yayasan Warisan Johor.anjuran oleh Intermedia Production Sdn Bhd. dengan kerjasama Rabbani Empire Resources dan disokong oleh Tourism Malaysia. – MalaysiaGazette