KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan bagaimana sebuah agensi kerajaan seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dijadikan lubuk untuk menjatuhkan seseorang individu.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, apa yang lebih memalukan, wujud konspirasi orang dalam jabatan itu untuk menghasilkan satu video mengaibkan yang tular baru-baru ini.
Tegas beliau, walaupun video itu masih dalam siasatan polis namun sekiranya ia benar, ia sangat mengaibkan bagi kerajaan.
“Kita tidak mahu apa yang tular dalam video baru-baru ini, sangat memalukan walaupun bawah siasatan pihak polis.
“Tetapi saya perlu menyebut ia perlu jadi pengajaran kepada kita semua untuk lantik mana-mana pihak untuk mengetua agensi kerajaan.
“Kalau video itu benar, ia sangat mengaibkan. Kalau video itu tidak benar bahkan dalam kenyataan yang disebut, ia merupakan konspirasi dari orang dalam jabatan kerajaan.
“Itu pun lebih teruk lagi kerana jabatan kerajaan telah dijadikan lubuk untuk menjatuhkan antara satu sama lain lalu dibuat video yang mengaibkan. Ini satu detik yang sangat mengaibkan bagi kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.
Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.
Lelaki bernama Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.
Dia mendakwa diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Ketua Pengarah J-KOM itu.
Kelmarin, Agus mendedahkan identiti ‘Mr. H’ selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. – MalaysiaGazette