Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.

Dalam kenyataan di sini hari ini, KPM berkata, pihaknya mengambil perhatian ancaman keselamatan di beberapa buah sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti yang dilaporkan oleh media.

Malah, KPM memandang serius isu ini dan sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan bawah
kelolaannya.

Oleh itu, katanya, kerjasama erat KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dapat menjamin keselamatan di semua institusi pendidikan.

“Semua institusi pendidikan KPM diminta untuk mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan. Sebarang ancaman keselamatan perlu dilaporkan segera kepada PDRM dan KPM.

“Institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Semalam Ketua Polis Negara mengesahkan PDRM menerima sebanyak 19 laporan ancaman bom di beberapa buah sekolah di seluruh negara hari ini daripada emel individu tidak dikenali.

Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua angka itu membabitkan beberapa sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan, Sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang beroperasi dalam negara.

“Siasatan awal polis mendapati ancaman bom itu telah dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com.

“Pecahan laporan polis yang diterima adalah tujuh laporan di selangor; lima laporan ancaman di Kuala Lumpur; tiga di Johor; dua di Pulau Pinang; dan masing-masing satu laporan ancaman di Perak dan di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Hari ini, sebuah lagi sekolah antarabangsa di Kajang menerima ancaman bom.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya selepas pihak pengurusan sekolah membuka satu emel ancaman bom berkenaan pagi ini. – MalaysiaGazette