Shahidan Kassim. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keputusan perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berhubung penganjuran konsert band popular dari United Kingdom iaitu Coldplay.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, ini kerana Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur akan berlangsung malam ini.

“Semalam Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, ada maklumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan konsep Coldplay yang akan berlangsung pada hari ini.

“Apakah hasil perbincangan yang telah dilakukan? Apakah tindakan segera yang akan diambil memandangkan konsert tersebut akan berlangsung kurang 24 jam?” soalnya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD.

Semalam, Perdana Menteri berkata, Coldplay antara kumpulan yang menyokong Palestin, dan terdapat pelobi-pelobi daripada gerakan negara itu yang menyokong agar persembahan tersebut diteruskan.

Luqman sebelum ini menggesa agar penganjur membatalkan konsert Coldplay dengan alasan antaranya, band itu menyokong kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Sementara itu, Shahidan turut membangkitkan isu kontroversi kumpulan The 1975 yang melakukan aksi biadab dan bercanggah dengan ajaran Islam pada persembahan di Subang Julai lalu.

Beliau turut mempersoalkan kelulusan permit kumpulan tersebut selepas permohonan pertama ditolak oleh oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Justeru, beliau mahu tahu apakah tindakan yang akan dibuat oleh kerajaan termasuk menyemak semula kemasukan mana-mana artis antarabangsa yang mempunyai rekod akhlak yang buruk.

“Ini memandangkan peningkatan sasaran daripada 50 (permohonan) pada tahun lalu, dan tahun ini 450 permohonan telah dibuat,” ujarnya. – MalaysiaGazette