TEL AVIV – Israel akan meneruskan serangannya di Semenanjung Gaza selepas cadangan gencatan senjata sementara tamat.

Perdana Menteri Israel. Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan meneruskan serangan ke atas Gaza sehingga matlamat negara zionis itu berjaya dilaksanakan.

“Kami sedang berperang dan perang akan berterusan sehingga semua matlamat kami tercapai,” katanya dalam ucapan mesyuarat Kabinet untuk membincangkan cadangan perjanjian tebusan dan gencatan senjata empat hari dengan kumpulan Palestin Hamas.

Netanyahu berkata, keputusan yang diambil pentadbirannya dalam perjanjian membebaskan tebusan Israel daripada Hamas adalah sukar tetapi tepat.

Dalam perjanjian itu, Hamas akan membebaskan 50 tebusan dengan negara zionis itu pula akan melepaskan 150 warga Palestin dari penjara Israel.

“Kami tidak akan berehat sehingga semua orang dikembalikan. Peperangan mempunyai peringkat dan pemulangan tebusan akan mempunyai peringkat,” tambahnya seperti yang dilaporkan oleh agensi Anadolu.

Media sebelum ini melaporkan perjanjian pembebasan tebusan akan memberikan tempoh gencatan senjata antara empat hingga lima hari bagi membolehkan pelepasan tebusan secara berperingkat.

Israel menganggarkan sekurang-kurangnya 239 warganya ditahan oleh Hamas berikutan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

Israel kemudian bertindak balas dengan menyerang Gaza dan membunuh lebih 14,000 rakyat Palestin termasuk 5,840 kanak-kanak dengan pengeboman tanpa henti. – Agensi