KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dilihat lebih sesuai turut memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa sama, kata Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi itu berkata, ini kerana Perdana Menteri memiliki tanggungjawab besar untuk memastikan tatakelola perolehan agar tidak disalahgunakan seperti yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Tokoh yang paling layak menjadi Menteri Kewangan adalah Perdana Menteri kerana siapa ada tanggungjawab lebih besar memastikan tatakelola perolehan seperti yang berlaku sebelum ini dan pernah tahu kawan-kawan Jana Wibawa di sebelah sana (pembangkang).
“Kalau contoh Menteri MITI jadi Menteri Kewangan atau Ahli Parlimen Kapit jadi Menteri Kewangan, daripada segi kuasa dan pengaruh politik kami dikira junior.
“Kalau ada yang cucuk sana sini tapi lobinya tetap pergi ke Perdana Menteri dan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sedia maklum dan telah berlaku sebelum ini.
“Akhirnya tugas memulihkan ekonomi dari segi perancangan dan pelaksanaan diagihkan kepada kementerian masing-masing,” katanya pada Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhyiddin (PN-Pagoh) sama ada kerajaan bersetuju mengasingkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melantik seseorang yang lain sebagai menteri sepenuh masa dalam Kementerian Kewangan.
Muhyiddin berkata, ini berdasarkan pemerhatian dalam kalangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi, mereka belum yakin tentang proses pemulihan ekonomi negara walaupun sudah setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
“Nampaknya rakyat dan penganalisis ekonomi belum yakin tentang proses pemulihan ekonomi negara setakat ini malah ada yang katakan (kerajaan) gagal.
“Salah satu sebabnya ialah jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Perdana Menteri yang juga pernah disuarakan untuk diasingkan.
“Jadi, setuju atau tidak supaya Perdana Menteri melantik seorang menteri kewangan sepenuhnya, mungkin Yang Berhormat?,” soal bekas Perdana Menteri itu pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan. – MalaysiaGazette
Janganlah ada mana2 Raja/Sultan bagi apa2 anugerah pada si mamat ini. Banyak sgt bercabang lidahnya, sikit lg jd ‘useless’