KOTA KINABALU – Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan program PEMADAM Outreach in Autumn (PETRA’23) di Seoul, Korea Selatan.
Pengarah Program, Hasdilah Diwan berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk mempelajari perbandingan budaya dan memberi inspirasi kepada peserta dalam menyelami perbezaan antara Malaysia dan Korea Selatan bagi memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kadar penyalahgunaan dadah.
“Lawatan kami ke Universiti Hanyang dan Universiti Yonsei menggalakkan dialog lintas budaya yang kaya dengan pertukaran idea untuk memperbaiki dan meningkatkan kewujudan PEMADAM UMS.
“Selain itu, program ini juga merangkumi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, di mana delegasi terlibat dalam perbincangan mengenai hasil program-program yang telah dijalankan sebelum ini dan isu penyalahgunaan dadah di Korea Selatan.
“Dengan mempelajari kejayaan Korea Selatan dan mengaplikasikannya di Malaysia, langkah yang signifikan dapat diambil dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hasdilah, program tersebut merangkumi pelbagai pengisian, termasuk lawatan ke institusi-institusi penting seperti Malaysia Tourism di Seoul, Universiti Hanyang, Universiti Yonsei, Kedutaan Malaysia di Seoul dan aktiviti kolaboratif bersama Persatuan Pelajar Malaysia di Korea (PPMK).
Tambah beliau, PETRA’23 tidak hanya menyumbang kepada usaha dalam memerangi penyalahgunaan dadah tetapi juga dalam membangunkan komuniti pelajar yang lebih aktif dan bertanggungjawab di institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, Hasdilah turut berkata, delegasi Kelab PEMADAM UMS memperoleh pengalaman berharga yang akan mengukuhkan objektif penubuhan kelab tersebut dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah di Malaysia.
“Menjelajahi bagaimana pendidikan, budaya dan pemikiran inovatif mempengaruhi kadar penyalahgunaan dadah adalah penting untuk mencari penyelesaian yang berkesan.
Pertukaran pengetahuan dan pengalaman juga amat penting sebagai pemacu perubahan positif dan pendekatan inovatif dalam komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette