Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad melawat galeri pembentungan Indah Water Konsortium di Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Pantai 1, Indah Water Konsortium, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 21 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengenal pasti sebanyak 1,811 tapak daripada 8,874 loji rawatan kumbahan termasuk stesen pam yang berpotensi untuk penggunaan tenaga solar PV (fotovoltaik).

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penilaian tapak itu dibuat berdasarkan penggunaan tenaga di kawasan loji terbabit dan ianya adalah kawasan yang matang dari segi kapasiti sistem bersambung dan berstatus loji tetap.

Menurutnya, selepas mengenalpasti tapak yang bersesuaian itu, IWK telah menjemput syarikat yang berkelayakan dalam pelaksanaan projek solar untuk bekerjasama dengan pihaknya melalui kaedah Inisiatif Kewangan Swasta.

“Setakat ini, sebanyak 396 tapak telah dikenalpasti sebagai inisiatif pertama dalam pemasangan solar PV.

“Sehubungan itu, IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) bersama empat syarikat swasta iaitu Pekat Solar, TNB Geo Spark, Timeliness Green dan Destini Bhd.

“Ia untuk melaksanakan projek solar PV yang dijangka memberi kos penjimatan sebanyak RM2 juta setahun dengan penghasilan tenaga solar sekitar 22,781 MWh setahun menjelang tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai 1, Kuala Lumpur.

Tenaga solar PV adalah tenaga solar yang diperolehi daripada melalui papan solar fotovoltaik yang menghasilkan tenaga diperbaharui.

Mengulas lanjut, Narendran memberitahu, pada masa yang sama, terdapat 583 tapak lagi yang masih melalui proses penilaian terperinci oleh IWK.

Kata beliau, ia  dijangka dimulakan tahun hadapan dengan jumlah sasaran penghasilan tenaga solar sebanyak 21,500 megawatt setiap jam (MWh) setahun iaitu bersamaan dengan sasaran kos penjimatan sebanyak RM1.8 juta menjelang tahun 2027.

“IWK komited untuk bersama-sama menyokong sasaran negara ke arah karbon sifar bersih (net-zero) pada tahun 2050 nanti. Dengan pelaksanaan projek solar PV ini, IWK menyasarkan jumlah pengurangan pelepasan karbon adalah sebanyak 34.4 kilo tan karbon dioksida (ktCo2e) menjelang 2027.

“Biarpun mungkin kadarnya kelihatan sedikit, tetapi IWK percaya dengan lebih banyak inovasi yang dijalankan syarikat dalam pengurusan air kumbahan.

“Kami yakin dapat menyumbang ke arah mempercepatkan sasaran mengurangkan pelepasan karbon negara dengan beberapa inisiatif hijau yang lain terutamanya penghasilan biogas untuk menjana elektrik dan penghasilan baja organik,” katanya.

Narendran turut menegaskan, komitmen IWK adalah sentiasa menyokong usaha mencapai sasaran sifar bersih dengan terus memberi keutamaan kepada inovasi yang mampan melalui kerjasama erat dengan semua pemegang taruh.

“Kami percaya, pendekatan ini akan mewujudkan nilai jangka panjang yang memberi manfaat kepada operasi syarikat serta kesannya kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette