SERDANG – Seramai 6,051 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan diraikan pada majlis Konvokesyen kali ke-47 selama enam hari, bermula Sabtu ini.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, istiadat yang akan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM bakal dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Canselor universiti tersebut.
“Konvokesyen kali ini bakal menyaksikan sebanyak 6,051 graduan bagi tahun 2023 akan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
“Majlis akan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 520 graduan.
“Daripada jumlah tersebut, 520 penerima merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, 1532 Ijazah Sarjana, 3988 Ijazah Sarjana Muda dan 11 penerima merupakan graduan Diploma,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pada majlis itu Sultan Sharafuddin perkenan untuk mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma kepada graduan pada hari pertama.
Ahmad Farhan berkata, pada sesi pertama, baginda akan menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Alumni, Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan, Anugerah Tun Abdul Razak dan Hadiah Syed Kechik.
“Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) akan dianugerahkan kepada Nor Izwan Hakimi Nor Azmi program Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Ong Jia Xin program Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul Dengan Kepujian, dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra),” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Farhan memberitahu, UPM baharu sahaja melaksanakan majlis konvokesyen sidang 1 di Kampus Bintulu, Sarawak pada 4 November lalu dan pada sesi itu, seramai 487 graduan telah diraikan. – MalaysiaGazette