ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM560,000 bagi menjayakan Semarak Subuh di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia penting kerana dalam memacu pembangunan negeri, kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada dua dimensi utama iaitu menjaga hubungan antara manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia.
“Ini bermaksud setiap masjid dan surau di seluruh pelusuk Negeri Johor akan disantuni dalam masa setahun. Pegawai Daerah, Kadi Daerah, Imam Daerah dan pegawai-pegawai agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat akan turut bersama di dalam program ini.
“Selain itu, ADUN juga dapat bertadabbur al-Quran dan seterusnya menyantuni para jemaah di masjid atau surau pada setiap pagi Jumaat dalam kawasan DUN masing-masing.
“Bagi ADUN wanita dan bukan beragama Islam pula boleh menghantar wakil dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Dianggarkan sebanyak 2,688 program Semarak Subuh akan dilaksanakan pada tahun depan. – MalaysiaGazette