KUANTAN – Projek naik taraf Klinik Desa Paya Pasir di Maran yang menelan kos RM382,000 telah disiapkan dalam tempoh enam bulan seperti ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammd Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan merupakan salah sebuah daripada 42 klinik yang dinaik taraf di negeri ini.
”Reka bentuk ini berbeza daripada reka bentuk klinik desa sedia ada dengan penambahan bilik pemeriksaan dan rawatan daripada satu bilik kepada empat bilik.
”Ada penambahan dua unit tandas, ruang menunggu, bilik penyusuan dan bilik penyimpanan peralatan.
”Klinik Desa ini menggunakan typical design yang dibangunkan sendiri oleh Unit Kejuruteraan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Fakharuddin, sebanyak lapan buah Klinik Desa yang akan menggunakan rekabentuk sama seperti di Paya Pasir.
Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyalurkan dana RM12.156 juta bagi menaik taraf klinik daif kesihatan di Pahang.
Menurutnya daripada 42 projek berkenaan bermula pertengahan tahun ini, 25 projek telah siap, manakala baki 17 projek masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada pertengahan bulan hadapan.
Terdapat 337 fasiliti klinik merangkumi 93 klinik kesihatan, klinik kesihatan ibu dan anak (tiga buah), klinik komuniti (10 buah) dan klinik desa (231 buah).
Sementara itu katanya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sudah menyenaraikan fasiliti kesihatan daif yang perlu dinaik taraf pada 2024 dan masih menunggu kelulusannya. – MalaysiaGazette