SERDANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap pentadbiran Kerajaan Perpaduan hari ini genap setahun akan berjalan lancar pada masa depan.

Dalam masa yang sama, beliau yang mengetuai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut berpuas hati dengan kerjasama antara warga kementerian.

“Hari ini ulang tahun pertama pemerintahan Kerajaan Perpaduan, semoga ia berjalan lancar.

“Setakat ini, saya lihat kerjasama warga kementerian ini lancar saya berpuas hati kita bekerja sebagai pasukan yang utuh,” katanya.

Belliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) Tahun 2023 di sini malam ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, Malaysia berjaya menjalankan tugas sebagai tuan rumah dan pengerusi dengan cemerlang semasa mesyuarat tersebut berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober lalu.

“Rakan sejawat saya memaklumkan bahawa Malaysia telah meletakkan taraf penganjuran Mesyuarat AMAF pada tahap yang tinggi untuk dicontohi dan dikuti oleh negara-negara anggota ASEAN lain bagi penganjuran yang akan datang,” ujarnya.

Beliau juga berbangga dengan komitmen yang dipamerkan hususnya para petugas, para pegawai dan barisan urus setia induk yang telah menjayakan penganjuran AMAF Ke-45.

“Selaku tuan rumah untuk penganjuran mesyuarat tahunan berjadual ini, program dan aktiviti yang diaturkan cukup padat,” katanya.

Sebagai rekod, AMAF Ke-45 yang bertemakan Growing Together: Advancing Asean Agriculture And Forestry For Sustainable Developmentdisertai negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bersama China, Jepun serta Korea Selatan.- MalaysiaGazette