KUALA LUMPUR – Penganjuran pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini di ibu negara dibantah seorang ahli Parlimen pembangkang.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, majoriti rakyat di negara ini beragama Islam dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
“Saya bantah pertandingan ratu cantik ini. Saya minta supaya kita hormati nilai-nilai Islam kerana majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
“Adakah kita nak tunggu bala yang datang akibat daripada kemaksiatan yang kita lakukan? Azab dan bala ini dia tidak pilih orang-orang yang melakukan saja (dan) diumumkan kepada semua orang.
“Saban hari kita dengar masalah maksiat dan kemungkaran yang berlaku di negara kita. Justeru kita tidak wajar ianya (penganjuran pertandingan ratu cantik) berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) di Dewan Rakyat hari ini.
Difahamkan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen 2023 yang akan berlangsung pada 12 Disember depan.
Kali terakhir pertandingan ratu cantik itu diadakan pada 2019 di Hong Kong dan dimenangi wakil Perancis, Sonia Mansur.
Muhammad Ismi turut membangkitkan persoalan penganjurannya kerana pada ketika ini, sedang berlakunya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dan negara juga dilanda banjir di sesetengah kawasan.
“Ketika pembantaian, pembunuhan yang berlaku kepada saudara kita di Palestin, ketika banjir yang melanda negara kita, masih wajarkah pertandingan ratu cantik ini dilakukan,” tegasnya. – MalaysiaGazette