PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan telah menubuhkan pasukan khas bagi menghadapi bencana banjir semasa musim monsun timur laut ketika ini.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, antara skop pasukan tersebut adalah memantau dan menyelaras bantuan kepada mangsa banjir termasuk yang terlibat dalam sektor pertanian.
Menurut beliau, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan semalam membincangkan perkara tersebut dan persiapan terutamanya oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dengan sektor pertanian bagi menghadapi musim tengkujuh.
“Kita harapkan itu tidak berlaku tetapi musimnya sudah sampai, kemungkinan untuk berlaku itu ada tetapi kerajaan negeri sudah mengambil langkah awal untuk mengatasi dan membantu semua mangsa yang terlibat.
“Setakat ini, tidak ada berlaku kejadian banjir yang begitu besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Ke-24 di sini, malam tadi.
Turut hadir, Presiden PKPKM, Datuk Aliasak Ambia.
Sementara itu, Jalaluddin menyeru pemain-pemain dalam sektor pertanian untuk turut menyumbang dalam usaha mendigitalkan industri berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan berkata, pendigitalan boleh dilakukan terhadap aspek pemasaran, penambahan pengeluaran dan perkara-perkara lain berkaitan hasil pertanian.
“Pendigitalan pertanian umpamanya boleh menarik minat golongan muda untuk menyertai industri pertanian,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin memberitahu, PKPKM boleh memainkan peranan lebih besar dalam memastikan tekanan yang dihadapi oleh pekebun kecil di seluruh negara dapat diselesaikan secara berperingkat.
“Umpamanya mengenai hal harga baja dan makanan ternakan yang semakin meningkat, perlu difikirkan satu kaedah penyelesaian yang kemudiannya diambil tindakan serta merta,” katanya. – MalaysiaGazette