PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hadir pada majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini petang tadi.
Kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewanga nitu disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Ali Zuki dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sebaik tiba, Ahli Parlimen Tambun itu sempat beramah mesra dengan tetamu di ruang lobi sebelum bergerak ke tempat makan untuk menjamu selera.
Majlis bermula pukul 6.30 petang itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Lebih 5,000 hadir pada majlis itu terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, penjawat awam dan pelajar tahfiz.
Majlis dimulakan dengan jamuan makan diikuti solat Maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat.
Program kemudian diteruskan dengan amanat oleh Perdana Menteri sebelum majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.
Majlis kesyukuran itu diadakan sempena meraikan tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar bersama parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa parti lain. – MalaysiaGazette