Kemaman
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kaji selidik yang dijalankan oleh Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) menjangka Barisan Nasional (BN) akan kalah lebih teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman 2 Disember ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategik dan Advokasi Dasar TSIS, Eikhwan Ali berkata, sebanyak 63 peratus dalam kaji selidik tersebut berpendapat sedemikian.

Menurut beliau, kemungkinan BN kalah adalah amat berasas memandangkan dapatan lain dalam kaji selidik yang sama merumuskan bahawa 62 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dapatan ini dilihat berwibawa kerana selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober lalu yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kaji selidik melibatkan seramai 1,356 pengundi di kawasan Parlimen Kemaman itu dijalankan mulai 29 Oktober hingga 17 November lalu.

Sebaliknya, Eikhwan memberitahu, kira-kira 70 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menjadi calon Pas pada PRK Parlimen Kemaman.

Beliau menambah, sebanyak 44 peratus responden tidak yakin bahawa Kemaman akan dibangunkan dengan lebih drastik jika calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menang.

“Walaupun mungkin dengan menamakan calon langsung daripada bekas pegawai tinggi kerajaan ini ada kelebihannya tersendiri namun berdasarkan kaji selidik ini, UMNO harus sedar bahawa majoriti pengundi mahukan calon yang aktif dalam parti serta dekat dan selalu bersama mereka.

“Tindakan Pas atau Perikatan Nasional (PN) PN memilih Ahmad Samsuri sebagai calon pula dilihat lebih tepat dengan kehendak majoriti pengundi tambahan pula Menteri Besar Terengganu ini diakui mempunyai keperibadian yang baik dan suka menyantuni semua pihak sama ada kawan mahu pun lawan,” jelasnya.

Eikhwan berkata, kebanyakan rakyat di Kemaman melihat pencalonan Ahmad Samsuri adalah langkah mempersiapkan beliau sebagai antara pemimpin utama negara.

“Menggesa Ahmad Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk bertanding dan jika memenangi PRK ini juga adalah tuntutan yang tidak berasas.

“Perlu disedari bahawa Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang juga adalah Ahli Parlimen dan suara mereka di Parlimen dianggap penting,” katanya.

Kaji selidik oleh TSIS itu juga mendapati kira-kira enam peratus menyatakan mereka tidak akan keluar mengundi manakala 20 peratus tidak pasti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast