Zairil.

GEORGE TOWN – Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon berkeluasan 930.77 hektar dijangka siap ditambak sepenuhnya pada 2032.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja penambakan Pulau Silikon telah dimulakan pada September lepas selepas mendapat kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai lalu.

“Ia bermula dengan kerja pemasangan boya yang menandakan kawasan tapak projek dan tirai kelodak yang mengawal serta menangani serakan kelodak semasa kerja penambakan berjalan. 

“Setelah tirai kelodak selesai dipasang dengan baik, kerja pengisian pasir juga telah dimulakan di tapak dan setakat ini, kira-kira 1.21 hektar tanah telah terbentuk di tapak Pulau Silikon,” katanya.

Zairil (DAP-Tanjung Bunga) berkata demikian dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Tambah beliau, mengikut perancangan projek, bidang tanah (parcel) yang pertama iaitu tanah industri yang akan dikenali sebagai Green Tech Park dijangka siap pada Disember 2025.

Mengulas dakwaan berkenaan ketidakprihatinan serta kerosakan persekitaran laut akibat projek PSI, Zairil berkata, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment – EIA) bagi projek PSI telah diluluskan pada April lalu.

Katanya, laporan tersebut telah dikemukakan kepada orang awam untuk maklum balas dan disemak semula dengan teliti oleh pihak berkuasa berkaitan, terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum kelulusan diberikan.

“Berdasarkan kelulusan Laporan EIA tersebut, Kerajaan Negeri wajib memastikan langkah-langkah mitigasi dilaksanakan mengikut 71 syarat yang dikenakan oleh JAS.

“Antaranya menjalankan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk manfaat nelayan dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM).

“PEOM yang disyorkan dalam laporan EIA sedang dilaksanakan untuk membantu mewujudkan habitat baharu hidupan laut dan meningkatkan stok ikan untuk menggalakkan kelestarian sektor perikanan di kawasan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette