PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengesahkan rombakan Kabinet di bawah pimpinannya akan berlaku pada awal tahun depan.
“Kenapa Januari bukan Disember?” soal Perdana Menteri kepada wakil media ketika ditanya tentang rombakan Kabinet itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini malam ini.
Beliau diminta mengulas tentang ramalan yang dibuat program podcast Keluar Sekejap semalam bahawa rombakan Kabinet yang mungkin berlaku Januari tahun depan.
Ditanya tentang prestasi menteri Kabinet selepas setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, Anwar yakin banyak benda lagi yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.
“Alhamdulillah kita sedaya upaya seluruh pasukan dan Insya-Alh kita akan baiki dan kekuatan baru ini kita lonjak lagi tinggi,” katanya.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu lima hari selepas PRU-15 sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember tahun sama.
Bagaimanapun pada 23 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia dan sampai sekarang kekosongan itu belum diisi. – MalaysiaGazette