KUALA LUMPUR – Suami isteri cedera manakala seorang kanak-kanak terselamat selepas dua kenderaan terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 426.1, Arah Selatan Lebuh Raya Utara Selatan semasa hujan lebat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5 petang tadi.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dengan sebuah jentera bersama skuad EMRS telah digerakkan ke lokasi nahas dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentosa.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan jenis Honda City dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan Honda mendapati seorang lelaki dan wanita yang merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak iaitu anak perempuannya berusia dua tahun tersepit di dalam kereta itu.
“Anggota kemudian berjaya mengeluarkan ketiga-tiga mangsa sekeluarga itu dari kereta nahas,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, siasatan mendapati kanak-kanak itu terselamat tanpa sebarang kecederaan manakala pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan ringan akibat insiden itu.
“Siasatan lanjut mendapati pasangan itu berusia 28 tahun dan kedua-duanya masih trauma menyebabkan bomba tidak dapat memastikan destinasi yang ditujui serta punca kejadian tersebut.
“Mereka telah dikejarkan ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan yang bergegas ke lokasi bertindak atas maklumat,” tegasnya. – MalaysiaGazette