MHO bersama mangsa penipuan pakej umrah pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pelancongan terkemuka didakwa telah menipu pakej umrah dengan kerugian lebih RM1.3 juta pada Mac tahun ini yang turut melibatkan lebih 100 mangsa.

Bagaimanapun mangsa yang membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa kes berkenaan perklu dirujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Perkara itu yang didedahkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) apabila 123 mangsa tampil memohon bantuan daripada NGO berkenaan baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, walaupun mengikut undang-undang, syarikat itu telah melakukan kesalahan jenayah antaranya Seksyen 420 pecah amanah dan Seksyen 415 namun akhirnya kes ini dirujuk sebagai ROA.

Menurutnya, rata-rata mangsa kecewa kerana apabila ia dirujuk kepada MOTAC, kuasa yang ada pada kementerian itu hanyalah sekadar menyenarai hitam syarikat tersebut walhal apa diakukan oleh mereka adalah kesalahan jenayah dan mungkin ‘terlepas’ begitu sahaja.

“Apa yang anda lakukan jika ianya berlaku pada anda? Marah? Saya marah dan kecewa jika berlaku kepada saya. Guna syarikat terkenal, promosi hebat guna media sosial dan juga ejen untuk mangsa beli pakej umrah itu tapi akhirnya tipu.

“Mangsa telah buat bayaran selepas pemasaran yang dibuat oleh syarikat ini, selepas bayar wang kemudian semua mangsa ini diberikan jadual penerbangan, apabila hampir tiba hari untuk berangkat secara tiba-tiba syarikat ini telefon penerbangan dibatalkan atas pelbagai sebab.

“Mereka kemudian memberikan pelbagai janji konon wang akan dipulangkan, ada juga dijanjikan jadual penerbangan lain tapi akhirnya tertipu. Ada juga mangsa diberikan post dated cheque yang akhirnya tidak dapat bayaran.

“Buat laporan polis, kes diklasifikasikan sebagai ROA, mangsa juga buat aduan dengan tribunal pengguna namun perintah tidak dipedulikan syarikat ‘kebal’ ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kata Hishamuddin, mangsa seperti ‘mati kutu’ kerana jalan untuk mendapatkan keadilan untuk mereka tidak ada setelah mencuba pelbagai cara.

“Mereka telah cuba dengan semua cara, buat laporan polis, pergi ke tribunal pengguna, buat rundingan dengan syarikat terbabit tapi semuanya sia-sia. Bayangkan perasan dihadapi oleh mangsa-mangsa ini sehingga memaksa mereka berada di sini dalam sidang media.

“Ada yang datang daripada Kelantan, Terengganu dan lain-lain. Untuk makluman anda semua, penipuan umrah ini tidak sama seperti penipuan forex pelaburan. Ini tipu untuk orang pergi buat ibadat. Saya tidak sangka ada orang sejahat ini. Pergi buat ibadat di Mekah, Madinah bukan main-main.

“Tapi syarikat ini sanggup lakukan sedemikian. Kita sedang bercakap tentang golongan B40 yang simpan duit untuk sampai ke tanah suci, buat haji tidak mampu sekurang-kurangnya kumpul duit buat umrah. Ini bukan hendak pergi London, Paris. Ini buat ibadat,” tegasnya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim

Hishamuddin berkata, pihaknya setuju andai aduan itu dibuat oleh sekumpulan kecil pengadu kepada polis dan ia dirujuk kepada MOTAC namun dalam kes ini ia berbeza.

Katanya, ia melibatkan ribuan orang dan jutaan kerugian, tidak mungkin langsung tidak ada elemen jenayah dalam kes ini.

“Kita hendak buat desakan supaya PDRM untuk menyiasat beberapa perkara antaranya, apakah syarikat ini berdaftar sah dan menawarkan pakej sahih? Juga menyiasat mana perginya wang tempahan pakej umrah yang telah dibayar mangsa, kebanyakan mangsa sudah bayar penuh kepada syarikat.

“Siasatan akaun itu dulu sebelum kata tidak ada unsur jenayah atau ROA. Tindakan siasatan jenayah oleh PDRM perlu dilakukan. Kita juga mohon polis siasat aliran wang pakej-pakej umrah ini yang dibayar oleh mangsa.

“Polis perlu siasat terlebih dahulu sebelum serah kepada MOTAC yang lebih kepada perlesenan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast