Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilantik pegawai penyelia akan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyelia tingkah laku dan integriti tugas anggota masing-masing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu diambil ekoran arahan penguatkuasaan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 secara menyeluruh yang dikeluarkan pada 26 Ogos lalu yang harus dipandang serius setiap warga pegawai dan anggota PDRM.

“Arahan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 26 November ini selepas tamat tempoh tiga bulan dari tarikh arahan dikeluarkan ke atas sebarang kegagalan pematuhan berdasarkan peraturan ini.

“Jasi saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan.

“Usaha ini dikuatkuasakan demi memastikan keutuhan dan integriti pegawai polis dapat ditingkatkan, sekaligus memelihara imej serta nama baik pasukan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM. Cheras petang tadi.

Turut hadir ke majlis Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Mengulas lanjut, Razarudin menambah inisiatif dan arahan itu dilaksanakan disebabkan situasi semasa yang mana warga PDRM sentiasa terdedah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang mencabar kredibiliti pasukan.

Begitu juga dengan penularan berita tidak sahih yang dikongsi di media sosial mengenai pelanggaran integriti oleh warga PDRM dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Oleh demikian, bagi menangani isu berkaitan pelanggaran integriti dan persepsi negatif masyarakat, ketegasan dalam pemantauan dan penyeliaan menggunakan kaedah close monitoring terhadap warga pasukan adalah pilihan terbaik.

“Berdasarkan prinsip akauntabiliti penyeliaan dan pemantauan harus dilaksanakan bertunjangkan Peraturan 3C sebagai mekanisme semak dan imbang.

“Oleh itu, saya mengingatkan kepada semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia agar memainkan peranan masing-masing menjalankan kawalan serta pemantauan ke atas pegawai dan anggota yang diselia.

“Ketua-ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia perlu bertanggungjawab serta cakna terhadap segala tingkah laku pegawai bawahan masing-masing dengan sering membuat perjumpaan, memberi teguran dan nasihat serta mengambil tindakan sewajarnya jika perlu,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast