Nurul Husna Adriana.

TELUK INTAN – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 16 November lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan kehilangan Nurul Husna Adriana Mohd Fazli, 17, dibuat ibunya di Balai Polis Rungkup.

“Remaja itu kali terakhir dilihat keluarga pada 15 November lalu jam 7.30 pagi ketika dia keluar dari rumah untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Sumun di sini.

“Bagaimanapun, selepas sesi persekolahan 1.20 tengah hari, remaja itu dikatakan tidak pulang dan dipercayai telah mengikut teman lelakinya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 bernombor pendaftaran AND 5875,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Adnan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai remaja itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Khairul Nizam Osman di talian 013 – 563 0471.

Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05 6299 2222. – MalaysiaGazette