KUALA LUMPUR – Penganjuran program ratu cantik, Miss World Noble Queen International 2023 yang dijangka berlangsung di ibu negara pada Disember ini tidak sepatutnya dianjurkan, kata Dewan Ulama Pas Pusat.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya berkata, penganjuran program sedemikian yang turut melibatkan Tourism Malaysia itu tidak sepatutnya dibenarkan langsung untuk dilaksanakan dalam negara.
“DUPP berpandangan program sedemikian bukan sahaja memberikan imej buruk kepada negara kita, bahkan sangat tidak bertepatan dalam suasana kesengsaraan yang menimpa saudara kita di Palestin.
“DUPP sependapat dengan beberapa orang Mufti yang memberikan pandangan bahawa sebarang program hiburan yang melalaikan termasuklah konsert Coldplay tidak patut dibenarkan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah turut menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, penganjuran itu bukan sahaja memberikan imej buruk kepada Malaysia, malah dianggap sangat tidak bertepatan dengan situasi semasa dan kesengsaraan yang menimpa saudara seagama di Palestin.
“Oleh yang demikian, kami sekali lagi mendesak kerajaan supaya segera membatalkan program ratu cantik ini selain mengeluarkan satu pekeliling,” katanya.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen pada bulan depan selepas tiga tahun menyepi akibat pandemik Covid-19.
Kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 di Hong Kong dan dimenangi wakil Perancis, Sonia Mansur.
Pas sebelum ini menerusi Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penganjuran konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah tidak bertepatan dalam situasi sekarang. – MalaysiaGazette