TANJUNG MALIM – Kegembiraan jelas terpamer kepada apabila kembar adik-beradik Rossalini dan Rossalini Ramzi apabila menerima anugerah atas kecemerlangan akademiknya pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penerima Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti, Rossalina Ramzi, 23, berkata, kejayaan yang mereka capai kerana usaha dan tawakal kepada Allah.
“Selain dari usaha dalam pembelajaran, kami juga menghafaz al-Quran dan melaksanakan solat hajat kerana percaya Allah akan membantu hambanya yang meletakkan separuh harapannya kepada-Nya.
“Kami sentiasa menghormati ibu bapa, kawan dan pensyarah agar ilmu yang dipelajari itu dapat diberkati dalam meneruskan perjalanan ke arah kecemerlangan.
“Di samping itu, saya juga rajin bertanya kepada pensyarah terhadap soalan yang kurang difahami untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Rossalini Ramzi pula berkata, faktor yang menjadi pembakar semangatnya adalah keinginan untuk membalas jasa pengorbanan kedua orang tua.
Baginya mereka sentiasa memberi sokongan, dorongan serta motivasi berterusan, dengan mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
“Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, pembelajaran bersemuka berubah kepada pembelajaran atas talian yang mencetuskan cabaran bagi saya kerana kekangan akses internet.
“Namun sebagai langkah penyelesaian, saya mengambil inisiatif untuk meluangkan lebih banyak masa mengulang kandungan melalui video yang dirakam oleh pensyarah.
“Selain daripada aspek pembelajaran, saya juga berjaya bijak menguruskan masa saya dengan menyertai pelbagai aktiviti sukan. Saya terlibat dalam aktiviti riadah seperti larian dan fun run serta turut aktif sebagai ahli jawatankuasa dalam persatuan dan menyertai program-program tertentu,” ujarnya.
Harapan pasangan kembar itu adalah untuk menabur bakti dan berjasa kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Mereka berharap dapat menjadi pendidik di masa depan dan mahu menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk mencapai kecemerlangan.
Kembar yang berasal dari Marang, Terengganu itu juga membanggakan ibu bapanya apabila menamatkan pengajian dalam bidang yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian lalu memperoleh pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.96.
Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti dianugerahkan kepada mereka oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Majlis Konvokesyen UPSI tersebut berlangsung semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. – MalaysiaGazette