KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) menunjukkan pergerakan yang lebih baik untuk tiga bulan berturut-turut kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

(IP) merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (20.8%) dan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (17.6%) menyumbang secara positif kepada IP.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan diperhatikan dalam barangan import khususnya dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-16.2%) dan Import Benar Semi Konduktor (-14.5%).

Merujuk kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 0.4 peratus pada bulan rujukan berbanding 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain ( -1.0%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (-0.8%).

Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada September 2023, IP kekal di bawah trend 100.0 mata.

Meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka bertumbuh sederhana, disokong oleh permintaan domestik yang menggalakkan di tengah-tengah cabaran mata wang dan kelembapan ekonomi dunia.

Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, meningkat 2.1 peratus kepada 123.8 mata pada September 2023 berbanding 121.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini diterajui oleh Nilai Caruman Benar, KWSP (8.6%), diikuti oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (3.6%).

Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS turut meningkat sebanyak 0.2 peratus dengan Jumlah Guna Tenaga dalam Pembuatan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ini (0.3%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast