KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada Oktober 2023 meningkat 1.8 peratus, terendah sejak April 2021, dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 128.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi ini telah didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, 3.6 peratus (September 2023: 3.9%).
Ini diikuti peningkatan perlahan kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (1.4%) (September 2023: 1.5%) dan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3%) (September 2023: 2.5%).
Antara kumpulan utama lain yang menyumbang kepada peningkatan lebih rendah berbanding September 2023 adalah kumpulan Minuman alkohol & tembakau (0.6%) (September 2023: 0.7%) dan pakaian & kasut (0.0%) (September 2023: 0.1%).
Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 3.6 peratus.
Komponen makanan di rumah meningkat 2.1 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti & bijirin lain, 3.6 peratus (September 2023: 4.1%).
Ini diikuti oleh subkumpulan susu, keju & telur dan daging masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 2.1 peratus.
Sementara itu, komponen makanan di luar rumah meningkat perlahan kepada 5.6 peratus berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada September 2023.
Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah burger, ayam goreng dan murtabak.
Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti & bijirin lain sebanyak 3.6 peratus pada Oktober 2023 disumbangkan oleh kenaikan kelas perbelanjaan Beras sebanyak 5.3 peratus (September 2023: 5.0%).
Inflasi subkumpulan susu, keju & telur meningkat perlahan kepada 3.1 peratus pada bulan Oktober 2023 (September 2023: 3.4%) dan ini didorong oleh kelas perbelanjaan susu tepung & keluaran susu lain yang mencatatkan kenaikan sebanyak 4.0 peratus (September 2023: 4.1%).
Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mereda kepada 2.1 peratus pada bulan Oktober 2023 (September 2023: 3.4%).
Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan daging mencatatkan penurunan negatif 0.7 peratus berbanding 0.9 peratus pada bulan September 2023.
Purata harga ayam standard di Malaysia menurun kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM10.07 sekilogram pada bulan Oktober 2022 (September 2023: RM10.01).
Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan pengapungan harga ayam bermula 1 November 2023 bagi mengelakkan ketirisan subsidi yang telah dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi selain untuk menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.
Walau bagaimanapun, kerajaan masih meneruskan subsidi bagi telur gred A, B dan C.
Inflasi Pengangkutan tidak mencatatkan sebarang peningkatan pada bulan Oktober 2023 (September 2023: -0.1%). Ini disumbangkan oleh harga petrol RON97 yang ditetapkan pada bulan Oktober 2023 adalah lebih rendah iaitu RM3.47 seliter berbanding RM3.96 seliter pada bulan Oktober 2022 (September 2023: RM3.40 seliter).
Kelas perbelanjaan pembaikan & penyelenggaraan untuk pengangkutan persendirian merekodkan peningkatan lebih rendah iaitu 5.1 peratus berbanding 5.6 peratus pada September 2023.
Kenaikan ini disumbangkan oleh penyelenggaraan kereta dan motosikal yang meningkat kepada 6.2 peratus (September 2023: 6.5%).
Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.8 peratus.
Bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Putrajaya (2.7%), Sarawak (2.5%), Perak (2.2%) dan Selangor (1.9%).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (5.2%), diikuti oleh Sarawak (4.8%), Selangor (4.7%), Pulau Pinang (4.5%), Melaka (3.7%) dan Labuan (3.6%).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 3.6 peratus pada Oktober 2023.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Oktober 2023 meningkat 0.1 peratus disumbangkan oleh peningkatan kumpulan restoran & hotel (0.5%), pengangkutan (0.2%) dan kesihatan (0.2%).
Sementara itu, inflasi teras meningkat perlahan pada 2.4 peratus (September 2023: 2.5%), namun masih melepasi kadar inflasi negara (1.8%). Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh inflasi makanan & minuman bukan alkohol (4.8%).
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding Filipina (4.9%), Republik Korea (3.8%), Vietnam (3.6%) dan Indonesia (2.6%).
Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (-0.2%) dan Thailand (-0.3%). – MalaysiaGazette