kursus elektif kelayakan mikro
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu menyesuaikan kurikulum berdasarkan keperluan semasa industri bagi menangani cabaran pasaran kerja masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kurikulum berdasarkan industri mampu melahirkan graduan yang ditawarkan gaji premium seterusnya mencerminkan kelayakan dan kemahiran yang mereka peroleh ketika pengajian.

Katanya, fokus IPT kini bukan semata-mata jumlah graduan yang mendapatkan pekerjaan, tetapi juga melahirkan graduan dengan gaji premium melebihi RM4,000.

“Bagi mencapai sasaran itu, kurikulum an program ditawarkan perlu berdasarkan industri dan fleksibel bagi mempersiap graduan dalam memasuki dunia pekerjaan.

“Dalam konteks ini, MQA sentiasa mendorong IPT untuk menawarkan program berteraskan keperluan industri dan negara selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023 lalu,” katanya, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, penilaian secara berkala perlu dilakukan untuk menilai keberkesanan program dan tahap relevannya dengan tuntutan industri.

Beliau berkata, program yang dianggap tidak lagi relevan dan tidak memberikan manfaat kepada graduan perlu dipertimbangkan untuk dilupuskan seterusnya dihentikan penawarannya.

Katanya, meskipun terdapat ketetapan penilaian kurikulum setiap lima tahun, MQA menyarankan pendekatan aktif dan proaktif kepada IPT dalam menyemak program supaya terus relevan dengan keperluan industri.

“Kini, pendekatan ‘business as usual’ tidak sesuai diamalkan dan MQA mendorong IPT untuk mengambil tindakan aktif dalam memenuhi keperluan semasa industri yang seterusnya bakal memberi kesan positif kepada pembangunan negara secara holistik.

“Dengan demikian, graduan akan lebih siap dan kompetitif dalam menghadapi alam pekerjaan yang bersifat lebih dinamik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast