Muhamad Amin Othman

JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn mensasarkan lebih 50 penjawatan bakal diisi menerusi program KPJ Night Career Fair yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Bandar Dato’ Onn, Muhamad Amin Othman berkata, penganjuran program julung kalinya diadakan itu merupakan platform terbaik untuk mencari bakat baharu terutama kepada para graduan sedang mencari peluang kerjaya yang stabil dan kukuh.

Katanya, sesi temuduga secara terbuka akan diadakan selama tujuh jam bermula jam 5 petang yang mana akan menampilkan pelbagai insentif dan keistimewaan diberikan kepada mana-mana calon yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

“KPJ Bandar Dato’ Onn merupakan antara hospital di bawah rangkaian KPJ Healthcare Berhad baharu dan sedang meningkat naik. Kami juga di dalam perancangan untuk meluaskan lagi perkhidmatan sedia ada dengan penambahan beberapa fasiliti dan satu bangunan baharu.

“Setakat Oktober 2023, hospital ini sudah mempunyai kira-kira 400 kakitangan daripada pelbagai peringkat penjawatan, dan kini kami mensasarkan penambahan lebih 200 lagi penjawatan untuk memenuhi keperluan sehingga hujung tahun hadapan,” katanya, hari ini.

Muhamad Amin berkata, keperluan utama bagi memenuhi kekosongan semua penjawatan itu adalah melibatkan kerjaya dalam bidang jururawat, jurufarmasi, kerani dan pembantu kesihatan.

“Menariknya program “KPJ Career Night Fair” ini adalah ia diadakan pada waktu malam, yang mana akan memberikan kesenangan dan peluang kepada calon-calon yang berminat tetapi dikekang oleh masalah masa dan rutin pekerjaan sedia ada.

“Untuk program ini sahaja, mana-mana calon yang diterima akan menikmati keistimewaan seperti bonus diterima kerja selain juga akan menerima satu bulan tambahan gaji selepas berkhidmat selama satu tahun,” katanya.

KPJ Career Night Fair diadakan secara serentak di kesemua 29 rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad di seluruh negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast