Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Angka ancaman bom yang diterima oleh sekolah di negara ini menerusi e-mel menggunakan nama gelaran Takstorer meningkat kepada 51 laporan setakat hari ini, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Takstorer dalam bahasa Jerman bermaksud penganggu ketenteraman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, peningkatan itu disebabkan oleh laporan tambahan dibuat kerana pihak sekolah agak lewat kerana membaca e-mel ancaman bom itu yang disebarkan pada waktu yang sama.

“Sehubungan itu, secara keseluruhannya polis membuka sebanyak 10 kertas siasatan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengikut pecahan daripada 51 ancaman yang diterima itu, sebanyak 18 laporan diterima di Selangor membabitkan tujuh sekolah swasta dan 11 antarabangsa, tujuh sekolah antarabangsa di ibu negara, Johor (6), Negeri Sembilan (3), Pulau Pinang (4), Sarawak (5), masing-masing tiga sekolah di Perak dan Kedah dan dua sekolah di Sabah.

Justeru semakan awal polis mendapati beberapa e-mel yang digunakan oleh penghantar dengan domain yang sama iaitu beeble.com yang didaftarkan di Cyprus dan menggunakan nama Takstorer.

Ujar Mohd Shuhaily, siasatan masih diteruskan oleh pihaknya dan sedang mendapatkan kerjasama negara Jamaica, Trinidad and Tobago Federal dan Biro Siasatan Pusat (FBI) menerusi Interpol dan Urusetia Ketua Polis Negara Antarabangsa.

Beliau juga memaklumkan sebelum ini hasil siasatan  mendapati penghantar ancaman pernah terlibat dalam jenayah sama menyebarkan ancaman bom ke 70 sekolah di Jamaica pada 12 November lalu.

“Polis memandang ancaman ini secara serius dan bagi memastikan sesiapa pun mengganggu ketenteraman pihak polis akan mengunjungi setiap sekolah yang menerima sabotaj dan ancaman itu bagi menjamin keselamatan premis dan juga penghuninya iaitu guru, murid dan kakitangan semua.

“Kita terpaksa mendapatkan kerjasama FBI menerusi Interpol kerana sukar untuk siasat jika membabitkan jenayah siber merentasi sempadan dan kita perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa Jamaica dan sebagainya untuk mengetahui motif serta mengenalpasti pengancam tersebut memandangkan domain awam digunakan untuk menyebarkan ancaman,” katanya lagi.

Menurutnya, ini bukan kes pertama bagi Malaysia kerana sebelum ini polis pernah menerima banyak kes ancaman seumpama tanpa mengetahui suspeknya yang turut membabitkan sekolah, hotel penginapan, premis kepunyaan warga asing dan hospital.

“Kami tidak dapat memastikan bagaimana pengancam ini mengumpul data-data sekolah untuk menghantar ancaman bom dan ini yang menjadi cabaran untuk pasukan siber.

“Bagaimanapun, adalah masih pramatang untuk kita menyimpulkan dari mana datangnya domain tersebut kerana melibatkan negara rakan luar dan tidak mahu menjejaskan hubungan diplomatik dua hala yang terjalin,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast