Ab Rauf merasmikan pelaksanaan MIB pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Proses permit pembinaan kategori industri di negeri ini dipercepatkan menjadi 30 hari berbanding 180 hari sebelum ini melalui Penggalak Perindustrian Melaka (MIB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, proses perintis melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu dilihat mampu memberi impak positif dalam pelaburan negeri.

Menurutnya, proses baharu yang pantas di bawah MIB itu melibatkan pengeluaran permit pembinaan bermula dari proses permohonan pelan pemajuan, kelulusan pembinaan, pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga ke lesen operasi.

“Ini dapat memberi impak positif di mana proses pemajuan dapat dilaksanakan serentak melalui Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Jalan dan Parit, Pelan Bangunan serta permit sementara.

“Semua proses ini dapat diluluskan dalam tempoh 30 hari berbanding proses pemajuan secara berasingan yang mengambil masa sehingga 180 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, melalui pelaksanaan MIB, permohonan lesen operasi dapat dipercepatkan dan boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam selepas CCC dikeluarkan berbanding antara satu hingga dua bulan sebelum ini.

“Justeru, saya melihat kaedah MIB yang mesra pelabur ini menjadi enabler (pemboleh) bagi membantu meningkatkan
pelaburan ke Melaka.

“Manual MIB ini dijangka dilaksanakan di semua pihak berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka, selewatnya-lewatnya pada suku pertama 2024,” katanya. – MalaysiaGazatte