Foto Instagram hrhcrown princeofjohor.

KUALA LUMPUR – Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kembali mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila baginda berkongsi gambar keadaan rumput di kawasan tersebut.

Baginda seolah-olah tidak puas hati terhadap kualitinya selepas Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 75,000 penonton malam Rabu lalu.

Menerusi gambar yang dikongsi, beberapa bahagian padang terutama di kawasan di ‘gelanggang keramat’ Harimau Malaya dilihat lompong dan tidak kelihatan rumput berwarna hijau lagi.

Bulan lalu, keadaan rumput baharu di SNBJ mendapat ‘perhatian’ para peminat bola sepak tanah air yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kualitinya ketika Harimau Malaya menentang India dalam Kejohanan Pesta Bola Merdeka.

Namun minggu lalu, keadaan padang SNBJ mendapat pujian kerana kelihatan lebih baik dan kemas berbanding apabila tiada lagi rumput yang teruk terkoyak sempena Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

Malah hujan rintik seketika pada awal permainan Malaysia dan Republik Kyrgyz tidak memburukkan keadaan padang sebaliknya membantu kedua-dua pasukan menampilkan gerakan lebih tersusun tanpa gangguan rumput terkoyak.

Sementara itu, selepas hampir 20 tahun, kumpulan rock dari British, Coldplay akhirnya berjaya memecahkan rekod biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mencatatkan 75,000 kehadiran di SNBJ.

Melalui ciapan yang dibuat oleh laman sosial X, Pop Crave, difahamkan bahawa rekod 2004 yang dipegang Datuk Siti Nurhaliza dengan kehadiran 70,000 lebih penonton akhirnya dipecahkan oleh Coldplay.

Selain itu, konsert AR Rahman tahun ini pula berada di tempat ketiga denga kehadiran 67,000 orang, manakala Blackpink berada di tangga ke-4 dan artis Jacky Cheung melengkapkan senarai lima teratas.

Untuk rekod, konsert Coldplay di Stadium Bukit Jalil adalah yang pertama kali pernah diadakan di Malaysia selepas 27 tahun penubuhan kumpulan itu.

Sebelum ini, wujud beberapa gesaan agar konsert Coldplay dibatalkan bagi menghormati situasi peperangan yang sedang berlaku di Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast