KUALA LUMPUR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan mengenai aspek budi bahasa dan sopan santun yang semakin diketepikan sehingga bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina disuarakan tanpa segan silu termasuk di tempat ibadah.
Baginda bertitah budi bahasa dan sopan santun diketepikan bukan oleh golongan yang tiada berpendidikan atau tidak berjawatan tinggi, tetapi dikorbankan oleh kumpulan berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran.
“Ia berlaku bukannya di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi berlaku di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah ada kalanya berlaku di tempat-tempat ibadah.
“Bahasa-bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan,” titah Baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-63 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Baginda bertitah Islam menegaskan konsep komunikasi ketika berbicara agar memilih kata-kata yang baik dan lemah lembut, bahkan lebih penting memperlakukan orang lain dengan penuh rasa hormat dan tertib serta menjaga tingkah laku.
Sultan Nazrin bertitah amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan menghina kerana ia berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan.
“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah-langkah preventif, menghentikan suara-suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titah Baginda.
Sehubungan itu, Baginda bertitah komponen Rukun Negara yang kelima iaitu ‘kesopanan dan kesusilaan’ perlu dijadikan sebahagian daripada input dalam program pengilmuan agar elemen berkenaan difahami, dihayati dan diamalkan oleh rakyat.
Titah Baginda ia demi memastikan minda warga, terutamanya anak-anak di bangku sekolah, tidak terpengaruh dengan teladan perangai tidak beradab yang mempunyai nilai salah.
“Nilai kesopanan dan kesusilaan merupakan asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara sejahtera. Sedarilah! perilaku warga, apatah lagi dalam kalangan pemimpin akan memberikan imej, wajah dan identiti negara kita di mata dunia. – BERNAMA